Bengkel ‘Malaysia ICT Volunteer Bersama Komuniti’ Pejabat MCMC Negeri Sarawak Dengan PEDi Kluster Seian & Tebedu
3 Julai 2022 | Aktiviti TerkiniDalam menjayakan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara pintar digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menumpukan kepada program sukarelawan ICT Malaysia (MIV). Program sukarelawan ini akan membantu mendidik lebih ramai komuniti yang mampu memajukan dan menghasilkan aplikasi serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi manfaat dalam kehidupan seharian.
Projek pembangunan infrastruktur ICT akan terus menjadi keutamaan bagi agenda pembangunan negara namun ia perlu diselarikan dengan nilai sumber manusia dengan cara memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan. Melalui program MIV, para sukarelawan berpeluang berinteraksi dengan komuniti setempat bagi membimbing penggunaan ICT yang lebih positif supaya dapat membendung masalah penyalahgunaan kemudahan teknologi seperti mengaibkan orang lain di laman sosial Facebook ataupun penyebaran berita palsu di aplikasi WhatsApp.
Antara khidmat lain yang diberikan oleh sukarelawan MIV adalah melaksanakan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu pengusaha tempatan memasarkan produk, mendidik pengunaan ICT secara berhemah, dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap mesej-mesej advokasi MCMC. Ramai usahawan di kawasan sekitar yang mengikuti kelas dijalankan oleh MIV di Pusat Internet bagi mempelajari teknik mempromosi produk-produk IKS mereka menggunakan kemudahan ICT seperti membuat risalah, membuka halaman Facebook dan Instagram.
Para sukarelawan turut menerima manfaat kerana pengalaman sebagai pengajar di pusat Internet itu boleh dijadikan sebagai nilai tambahan dalam ‘resume’ terutamanya bagi lepasan universiti yang masih mencari kerja selain berpeluang mencurah bakti kepada masyarakat setempat. Tidak ketinggalan PEDi Kg Taee juga telah menghantar empat orang sukarewalan MIV yang terdiri dari kalangan pelajar, lepasan universiti, pekerja swasta dan usahawan.
Sukarelawan MIV yang berdaftar akan mengikuti latihan mandatori selama dua hari sebelum memulakan aktiviti sukarelawan bagi tempoh enam minggu di PEDi kawasan masing-masing. Pemantauan akan dilakukan secara berkala oleh pihak MCMC bagi melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh sukarelawan selain menambah baik program MIV. MCMC telah memulakan program MIV sebagai projek perintis di Sarawak pada 2016, dan Program Sukarelawan ICT Malaysia dijalankan telah berjaya memberi manfaat kepada 252,190 orang di seluruh negara.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: