Penggambaran Pakaian Tradisional Sempena Hari Gawai 2022
21 Mei 2022 | Aktiviti TerkiniSempena sambutan Hari Gawai 2022, PEDi Kg Taee telah membuat penggambaran pakaian tradisional bangsa Bidayuh dan Orang Ulu. Hari Gawai adalah satu perayaaan yang paling berprestis setiap tahun bagi semua kaum etnik kaum Dayak di Sarawak. Tiada tempat yang lebih menarik indah untuk kita merayakan gawai kalau tidak di kampung halaman masing-masing. Pakaian Gawai Tradisional Dayak kini bukan sahaja dipakai semasa sambutan perayaan malah juga boleh dipakai pada sesuatu majlis yang menggunakan tema tersebut.
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan disediakan. Tuak merupakan sajian utama perayaan Gawai Dayak. Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang. Sambutan Gawai Dayak ini akan diadakan pada 1 Jun setiap tahun. Ia mesra dengan panggilan Ari Gawai dalam bahasa Iban dan Andu Gawai dalam bahasa Bidayuh. Hari Gawai adalah hari kaum Dayak memanjatkan kesyukuran atas segala keberkatan, nikmat dan tuah yang dilimpahkan oleh Tuhan. Itu adalah erti sebenar Gawai Dayak.
Lazimnya, sambutan Gawai Dayak ini disambut setelah musim menuai. Begawai dalam erti kata mudah sama seperti merayakan sesuatu. Sebagai contoh, hasil pemburuan, kelahiran, tanah baharu dan sebagainya. Tidak semestinya ia merujuk kepada hal menuai padi. Jika dahulu, masyarakat Dayak bergantung kepada hasil tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Oleh itu, adanya sambutan ini untuk meraikan segala hasil usaha dan kerja keras mereka. Sambutan ini juga dilihat sebagai permulaan baru bagi masyarakat Dayak, tidak kira dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan, sama ada perancangan, pekerjaan mahupun perjalanan.
Kini, ia dilihat sebagai sambutan disertai dengan adat dan tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang. Semestinya, setiap amalan mempunyai maksud tertentu. Kaum keluarga dan sanak saudara akan pulang ke rumah panjang bertemu ahli keluarga yang lain untuk meraikan sambutan Gawai Dayak. Ini juga merupakan masa terbaik untuk mengeratkan hubungan, berkenalan, bertanyakan khabar dengan sanak saudara yang lain dan mengenali susur-galur keluarga dengan lebih mendalam.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: