Kunjungan Dari SK Krait Untuk Membuat Kuiz Alam Sekitar
22 April 2022 | Aktiviti TerkiniHendak melentur buluh itu biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh, sukar pula untuk diubah tabiatnya.Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak kecil. Justeru, kepentingan alam sekitar untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera antara nilai murni yang perlu disemai sejak kecil meskipun awalnya ia sukar untuk dilakukan.
Tugas pelajar pada hari ini bukan sahaja terikat mengikuti pembelajaran di sekolah tetapi memikul tanggungjawab lebih besar memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara dan memastikannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Menjaga kepentingan alam sekitar merupakan tanggungjawab semua pihak dan persepsi masyarakat bahawa peranan itu hanya digalas pihak berkuasa wajar diperbetulkan demi mengelak berlakunya kemusnahan bumi.
Minda anak muda ini juga mudah dibentuk dan aktiviti seni menjadi satu wadah yang boleh digunakan untuk menyampaikan mesej mengenai pentingnya kitar semula dan penjagaan alam sekitar. Menerusi kuiz ini pelajar diberikan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar, kebersihan pantai dan juga kesejahteraan komuniti dalam kehidupan seharian
PEDi Kg Taee berterima kasih kerana dipilih untuk bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Krait, Serian untuk mengikuti kuiz alam sekitar peringkat negeri Sarawak 2022 secara alam maya. SK Krait telah diwakili oleh seorang guru dan dua murid. Murid yang dihantar untuk mewakili sekolah mereka merupakan pelajar tahun enam. Pertandingan kuiz tersebut berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Mereka menggunakan kemudahan yang disediakan oleh PEDi Kg Taee. Syabas dan terima kasih daripada PEDi Kg Taee ucapkan kepada guru dan pelajar SK. Krait Serian.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: